KUALA LUMPUR, 23 April - Ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatatkan rekod baharu Asia acara tricks pada kejohanan Swiss Pro Tricks di Florida pada Ahad.
Atlet berusia 20 tahun itu mengumpul 8,450 mata mengatasi rekod miliknya sendiri yang dilakukan pada Terbuka Asia iaitu 8,080 mata di Fluid Summer Showdown pada Jun 2022.
Bagaimanapun, rekod baharu itu tidak mencukupi untuk penamat podium buat Aaliyah apabila menduduki tempat keempat daripada 10 peserta dalam kejohanan jemputan untuk atlet luncur terbaik dunia.
Juara dunia acara tricks 2014, Erika Lang dari Amerika Syarikat muncul johan selepas mengutip 11,030 mata diikuti Neilly Ross dari Kanada (10,370 mata) dan seorang lagi wakil tuan rumah Anna Gay ketiga (9,390 mata).
Aaliyah yang meraih pingat gangsa di Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun di Mexico tahun lepas, bagaimanapun tetap berpuas hati dengan persembahannya pada kejohanan kali ini.