SEPANG, 21 April - Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim bersama gandingannya Jordan Love dari Triple Eight Johor Motorsports Racing, (JMR) berjaya menebus kekecewaan apabila menduduki kedudukan podium bagi kategori Pro-AM pada perlumbaan kedua GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Keputusan itu menyusul selepas pasukan Absolute Racing dipandu Anthony Liu yang sepatutnya berada di tempat ketiga diberikan penalti tambahan masa sebanyak 33 saat yang mengheretnya ke kedudukan keenam.
Pada perlumbaan kedua itu, Tunku Abu Bakar dan Love menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan daripada 33 pasukan bertanding dengan mencatat 1 jam 55 saat selepas melengkapkan 27 pusingan.
Berlumba menggunakan jentera Mercedes-AMG GT3 EVO, Love mengekalkan kedudukan kelima sepanjang 30 minit perlumbaan sebelum Tunku Abu Bakar mengambil alih jentera.
Berbaki 15 minit sebelum perlumbaan tamat, Tunku Abu Bakar menampilkan pemanduan hebat dan menamatkan saingan di tempat keempat sebelum mereka dinobatkan kedudukan ketiga.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke Litar Antarabangsa Sepang bagi menyaksikan puteranya Tunku Abu Bakar beraksi pada perlumbaan berprestij itu.