fb fb fb fb fb

Kejohanan Olahraga Tiger Classic, Azeem catat masa terbaik

Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi

ALABAMA, 21 April - Pelari pecut sensasi negara,Muhammad Azeem Fahmi merekodkan catatan masa peribadi terbaik tahun ini di Kejohanan Olahraga Tiger Klasik di Alabama, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Jaguh pecut negara itu yang mewakili Universiti Auburn, mencatat masa 10.31 saat dalam acara 100 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga pada saringan pertama.

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh berbanding rekod kebangsaan miliknya 10.09s dan had kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang mana atlet perlu mencatat masa 10 saat.

Saringan pertama diungguli dua lagi rakan sepasukan Azeem, Favour Ashe yang memenangi perlumbaan dengan catatan masa 9.96 saat manakala Kanyinsola Ajayi kedua 10.14 saat.

Ini adalah kejohanan ketiganya tahun ini selepas meraih gangsa dalam Kejohanan Olahraga Yellow Jacket di Georgia Tech, Atlanta, bulan lalu, dengan catatan 10.38 saat.

Minggu lalu, Azeem sekadar dikedudukan ke-22 dan mencatat 10.44 saat dalam Kejohanan Olahraga Jemputan Tom Jones Memorial 2024 di Gainesville, Florida.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD