BARCELONA, 16 Mei- Jaringan cantik bintang Barcelona, Lamine Yamal dan gol lewat Fermin Lopez membantu Barcelona mengesahkan kejuaraan La Liga selepas menang 2-0 ke atas Espanyol, awal pagi tadi.
Aksi yang berlangsung di Stadium RCDE itu memberi kelebihan kepada skuad Hansi Flick, apabila meletakkan jurang tujuh mata dengan Real Madrid, meski berbaki dua perlawanan.
Kemenangan itu sekali gus menghadiahkan kejuaraan liga ke-28 buat The Catalan dan melengkapkan kejuaraan domestik 'treble' musim ini.
Barcelona turut menjulang Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol musim ini, dengan Liga Juara-Juara menjadi satu-satunya trofi yang terlepas daripada genggaman pasukan muda berpotensi tinggi itu.
Yamal, 17, membuka tirai jaringan pada minit ke-53 dengan satu rembatan melengkung dari luar kotak penalti yang memukau penyokong, manakala Lopez menoktahkan kemenangan dengan gol minit ke-95.
"Sudah tiba masa untuk kami meraikannya. Saya mahu pemain terus dahagakan kejayaan dan sentiasa mahu jadi lebih baik," kata Flick.
Espanyol yang sedang bergelut mengelak penyingkiran, bermula garang dan hampir membuka jaringan menerusi Javi Puado, tetapi diselamatkan penjaga gol Barca, Wojciech Szczesny.
Barcelona mendominasi penguasaan bola namun gagal mencipta peluang jelas pada babak pertama, sebelum Yamal memecah kebuntuan dengan gol bergaya yang mengingatkan penyokong kepada jaringannya bersama Sepanyol dalam Euro 2024.
Espanyol terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Leandro Cabrera dilayangkan kad merah kerana mengasari Yamal.
Kejayaan Barca dalam merampas kejuaraan daripada Real Madrid musim ini, dianggap sebagai satu pencapaian luar biasa.- AFP