ROM, 16 Mei- Pemain tenis Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff melangkah ke pentas akhir Terbuka Itali buat kali pertama selepas menewaskan Zheng Qinwen 7-6(3), 4-6, 7-6(4) pada pusingan separuh akhir, hari ini.
Aksi yang berlangsung lebih tiga jam setengah itu menyaksikan pertarungan sengit antara kedua-dua pemain.
Namun, Gauff tampil lebih tenang dalam saat genting untuk mencatat kemenangan penuh bergaya.
Pemain pilihan ketiga itu melepaskan kelebihan 5-3 pada set pertama sebelum memanfaatkan beberapa kesilapan servis lawan untuk memenangi set tersebut.
Zheng bagaimanapun bangkit dengan 'break' awal di set kedua, memaksa perlawanan ditentukan menerusi set penentuan.
Pemain China itu tampak goyah di saat akhir sekali gus memberikan laluan mudah untuk Gauff menoktahkan kemenangan.
Gauff mencatatkan kemaraan ke pentas akhir WTA 1000 keduanya secara berturut-turut, selepas menjadi naib juara di Madrid sebelum ini.
Gauff bakal berdepan wakil tuan rumah, Jasmine Paolini untuk aksi akhir Terbuka Itali, esok.
Terdahulu, Paolini melakar sejarah sebagai finalis wanita Itali pertama mara ke pusingan akhir Terbuka Itali, lebih sedekad lalu.
Paolini menewaskan wakil Amerika Syarikat, Peyton Stearns 7-5, 6-1 dalam aksi separuh akhir.
Kali terakhir, wakil Itali layak ke pentas akhir kejohanan berprestij itu adalah pada edisi 2014, menerusi Sara Errani yang tewas kepada legenda tenis wanita, Serena Williams.- REUTERS