fb fb fb fb fb

Ruud kecundang, Sinner mara ke separuh akhir Terbuka Itali

Pemain tenis nombor satu dunia, Jannik Sinner/Reuters

ROM, 16 Mei- Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner mempamerkan aksi luar biasa di depan penyokong sendiri apabila membenam juara Terbuka Madrid, Casper Ruud 6-0, 6-1 dalam pusingan suku akhir Terbuka Itali, pada Khamis.

Sinner hanya melepaskan tujuh mata dalam set pertama dan memenangi lapan permainan berturut-turut sebelum Ruud akhirnya memecah kebuntuan.

Ruud secara berseloroh mengangkat tangan meraikan apabila berjaya memenangi satu permainan, disambut sorakan penonton tetapi Sinner kekal fokus dan menamatkan perlawanan hanya dalam masa 63 minit.

"Saya rasa sangat baik di gelanggang hari ini. Kita semua boleh nampak itu. Sasaran saya adalah untuk melihat tahap permainan saya dalam kejohanan ini dan ia semakin meningkat setiap hari.

Keputusan perlawanan bukan keutamaan, tetapi bagaimana saya bermain hari ini adalah satu petanda yang sangat positif. Semuanya berjalan sangat baik termasuk servis, pemulangan dan pergerakan saya," kata Sinner selepas perlawanan.

Sinner kini bakal berdepan wakil Amerika Syarikat, Tommy Paul di separuh akhir, manakala satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan wakil tuan rumah, Lorenzo Musetti dengan pilihan ketiga dari Sepanyol, Carlos Alcaraz.

Terdahulu, Musetti mencipta kejutan apabila menyingkirkan juara bertahan, Alexander Zverev 7-6(1), 6-4 dalam aksi suku akhir.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri yang memberikan sorakan gemuruh, Musetti berjaya mengekang Zverev dengan permainan mantap dari garis dasar.

Sementara itu, Alcaraz, juara Grand Slam empat kali dan juara bertahan Roland Garros, menewaskan pemain Britain, Jack Draper 6-4, 6-4 dalam aksi sebelumnya.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM