KUALA LUMPUR, 16 Mei - Malaysia terus membuktikan penguasaannya ke atas gergasi sepak takraw, Thailand, apabila muncul juara regu dalam Kejohanan Sepak Takraw Asia 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, di sini.
Pasukan kebangsaan menggembirakan ribuan penyokong yang hadir Stadium Titiwangsa apabila muncul juara acara regu selepas tundukkan seteru utama Thailand, 2-0.
Trio negara diketuai Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan sebelum menundukkan pasukan Thailand dengan keputusan 15-12, 15-9 dalam pertarungan selama hampir sejam.
Kemenangan ini turut mengulangi pencapaian manis skuad negara ketika menewaskan Thailand dalam final Piala Dunia 2024, sekali gus mengekalkan dominasi Malaysia dalam acara regu di pentas antarabangsa.
Malaysia bermula garang pada set pertama menerusi servis tajam dan konsisten oleh Mohammad Syahir yang memaksa pasukan lawan banyak melakukan kesilapan.
Thailand, yang diketuai oleh Yodsawat Uthaijaronsri (apit kiri), Sittipong Khamchan (tekong) dan Varayut Jantarasena (apit kanan), cuba bangkit di set kedua dengan pelbagai strategi serangan, namun gagal menembusi pertahanan kemas pemain negara.
Namun, semua serangan mereka berjaya dipatahkan oleh trio Malaysia, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya negara.