POKOK SENA, 15 Julai - Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, YAKEB terus prihatin terhadap kebajikan atlet dan bekas atlet yang ditimpa musibah.
Terbaru, keluarga bekas pemain bolasepak kebangsaan dari Pulau Pinang, Allahyarham Mohamed Firos Mohamed menerima sumbangan khairat kematian berjumlah RM3000.
Allahyarham Firos, 53 tahun meninggal dunia selepas rebah ketika beraksi bersama pasukan Legenda Pulau Pinang menentang Kedah pada Kejohanan Bolasepak Empat Penjuru “Legend All Star” di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, 5 Julai lalu.
Sumbangan khairat kematian diserahkan oleh Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail kepada ahli keluarga Allahyarham pada majlis penyerahan yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena, di Pokok Sena, Kedah.
Hadir sama, Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohamad Rizal Mohamad Radzi.
Selain keluarga Allahyarham Firos, YAKEB turut menyerahkan khairat kematian berjumlah RM1500 kepada bekas atlet tinju negara dari Perlis, P. Moideen Kutty P. Said Ali yang kematian isterinya, baru-baru ini.
Pada majlis sama, Datuk Ahmad Shapawi turut menyerahkan kunci rumah kepada bekas atlet sepak takraw negara dari Kedah, Anis Nadia Jefri.
Rumah yang dibina di Jerlun itu ada hasil kerjasama antara YAKEB dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Selain itu, beberapa atlet kebangsaan dari Kedah dalam pelbagai acara sukan turut menerima sumbangan daripada YAKEB.
"YAKEB diberi kesempatan oleh Pejabat Daerah Pokok Sena untuk bersama-sama meraihkan ahli YAKEB di Kedah khususnya dalam satu majlis yang sungguh meriah, kami bersyukur Alhamdulillah kerana dapat diraikan oleh sebuah agensi Kerajaan Negeri Kedah yang begitu prihatin dan menyayangi bekas-bekas atlet negara iaitu yang telah mewakili Negeri Kedah, saya juga berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain." kata beliau.
Dalam masa sama Pegawai Daerah dan Tanah Pokok Sena Mohamad Rizal Mohamad Radzi menyeru para atlet negeri ini agar segera mejadi ahli YAKEB.
"Saya harapkan kepada semua pemain-pemain kebangsaan yang masih lagi belum menjadi ahli YAKEB mendaftarlah menjadi ahli YAKEB supaya bukan sahaja anda menerima sumbangan, anda juga boleh memberi sumbangan kepada ahli-ahli YAKEB." katanya.
Bekas atlet sepak takraw negara Anis Nadia Jefri bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada YAKEB kerana sentiasa memastikan kebajikan para atlet dan bekas atlet sentiasa terbela.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAKEB, KPKT kerana telah memberikan sumbangan rumah kepada ahli-ahli YAKEB dan saya menyeru kepada sahabat-sahabat atlet untuk sama-sama mendaftar untuk menjadi ahli YAKEB." katanya kepada RTM.