JOHOR BAHRU, 7 Jun - Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan pelantikan Xisco Munoz sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu.
Berita mengenai pelantikan itu dikongsikan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.
"Ketua baharu sudah tiba! Dari Sepanyol ke England, dan kini Johor: Xisco Munoz ialah ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim FC yang baharu!" menurut perkongsian itu.

Video yang memaparkan Munoz berada di Stadium Sultan Ibrahim turut dimuat naik bersama kenyataan itu.
Perkongsian itu turut memaklumkan Munoz adalah pemenang LaLiga dan juga bekas pengurus Watford.
Skuad Harimau Selatan sebelum ini dibimbing oleh Hector Bidoglio sebagai ketua jurulatih sejak 2022 dan berakhir pada hujung Mei lalu.
Musim terakhir Bidoglio menyaksikan JDT meraih kejuaraan ‘quadruple’ dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan domestik.
Bersama JDT, secara keseluruhan, beliau berjaya meraih tujuh trofi utama termasuk dua kejuaraan Liga Super, dua Piala FA, dua Piala Malaysia dan satu Piala Sumbangsih.