PARIS, 7 Jun - Itali tewas 0-3 kepada Norway, sekali gus menyaksikan juara empat kali itu memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan permulaan yang buruk.
Dalam aksi di Ullevaal Stadion, Oslo itu Alexander Sorloth, Antonio Nusa dan Erling Haaland masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan menjadikan malam itu satu mimpi ngeri buat Itali, yang terlepas dua edisi terakhir Piala Dunia.

"Saya tiada penjelasan. Penyokong kami tidak layak menerima aksi seperti ini. Kami perlu muhasabah diri. Ini tidak boleh diterima," kata kapten dan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.
Itali kini ketinggalan di belakang Norway, pendahulu Kumpulan I dengan sembilan mata maksimum selepas kemenangan ke atas Moldova dan Israel pada Mac lalu ketika Azzurri masih terbabit dalam Liga Negara-Negara UEFA.

Israel berada di tempat kedua dengan enam mata selepas menang 3-1 ke atas Estonia di Tallinn, yang akan menjadi lokasi perlawanan seterusnya buat Norway pada Isnin.
Itali pula akan kembali ke laman sendiri untuk menentang Moldova di Reggio Emilia dalam perlawanan kedua mereka.
Sementara itu, Belgium memulakan kempen kelayakan dalam Kumpulan J dengan keputusan seri 1-1 menentang Macedonia Utara.
Maxim De Cuyper meletakkan Belgium di depan selepas percubaan Romelu Lukaku disekat, tetapi bekas pemain Leeds, Ezgjan Alioski menyamakan kedudukan menerusi voli empat minit sebelum tamat perlawanan di Skopje.

Macedonia Utara kekal tanpa kalah dalam tiga perlawanan, tetapi masih di belakang Wales, yang kini di puncak dengan tujuh mata selepas kemenangan 3-0 ke atas Liechtenstein di laman sendiri.
Joe Rodon, Harry Wilson dan Kieffer Moore masing-masing menjaringkan gol di Cardiff untuk mengekalkan rekod tanpa kalah Wales sejak pelantikan Craig Bellamy sebagai pengendali tahun lalu. Pasukan itu bakal berkunjung ke Brussels minggu hadapan.
"Kami boleh menjaringkan lebih banyak (gol), dan kami mahu jaringkan lebih banyak.
"Saya tidak sabar menantikan hari Isnin (menentang Belgium)," kata Bellamy.

Croatia pula membelasah Gibraltar 7-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan J mereka.
Manakala, Republik Czech menjadi pencabar utama kumpulan itu dengan tiga kemenangan berturut-turut selepas menang 2-0 ke atas Montenegro di laman sendiri.

12 juara kumpulan akan layak secara automatik ke kejohanan yang diperluas kepada 48 pasukan tahun depan, manakala naib juara kumpulan akan beraksi dalam pusingan play-off bagi menentukan empat slot terakhir dari Eropah. - AFP