fb fb fb fb fb

Kekalahan Djokovic di Terbuka Perancis 2025 mungkin perlawanan terakhir

Djokovic tewas 6-4, 7-5, 7-6(3) kepada Sinner dalam aksi separuh akhir Terbuka Perancis 2025 - Foto Reuters

PARIS, 7 Jun - Novak Djokovic masih belum memutuskan sama ada kekalahannya di separuh akhir Tenis Terbuka Perancis 2025 pada Jumaat menentang pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, adalah penampilan terakhirnya di Roland Garros.

Pemenang 24 gelaran Grand Slam dan juara Terbuka Perancis tiga kali itu tewas dalam pertarungan tiga set 6-4, 7-5 dan 7-6(3).

"Ini mungkin perlawanan terakhir saya di sini (Roland Garros). Saya tidak tahu. Itulah sebabnya saya agak emosi.

"Tetapi jika ini adalah perlawanan perpisahan saya di Roland Garros dalam kerjaya saya, ia adalah satu yang indah dari segi suasana dan apa yang saya terima daripada penonton," katanya dalam sidang media selepas tewas.

 

Djokovic merancang bermain di Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat selepas ini - Foto Reuters

Pemain nombor enam dunia berusia 38 tahun itu bagaimanapun berkata, dia merancang untuk bermain di Wimbledon bulan ini serta Terbuka Amerika Syarikat yang bermula pada Ogos dengan fokus utamanya pada kejohanan Grand Slam.

Namun, dia enggan membuat komitmen untuk mana-mana kejohanan selepas kedua-dua acara tersebut pada ketika ini.

"Saya benar-benar tidak tahu apa yang akan berlaku esok pada tahap ini dalam karier saya," katanya kini sedang mengejar Grand Slam ke-25.

Dia kini berkongsi rekod 24 gelaran utama itu dengan pemain Australia, Margaret Court. - REUTERS

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK