fb fb fb fb fb

Pemain Harimau Malaya semakin serasi dengan Cklamovski

Pemain negara Endrick Dos Santos (kanan) dihalang pemain Taiwan pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027, Malaysia menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Jun- Pemain Harimau Malaya kini semakin serasi dengan pendekatan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih, Peter Cklamovski.

Ini terutama menjelang perlawanan antara Malaysia dengan Vietnam dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2026/2027, Selasa depan.

Pemain tengah kebangsaan, Endrick Dos Santos mengakui Vietnam merupakan pasukan yang kuat namun beliau yakin dengan tahap kecergasan rakan sepasukan.

Pengalaman beraksi dalam liga Vietnam juga akan digunakan sebaiknya dalam perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Ya, kami berbincang banyak kali, kami juga ada penganalisis kami sendiri. Kami telah mengkaji pasukan lawan mereka pantas, kuat dan bermain dengan semangat juang yang tinggi.

"Namun begitu, mereka juga mempunyai kelemahan. Jadi, kami cuba berlatih sebaik mungkin dan mengikuti perancangan jurulatih. Saya percaya ia akan menjadi satu perlawanan yang baik", katanya.

Selain itu katanya fokus utama pasukan ketika ini adalah untuk memperkukuhkan persefahaman antara pemain, terutamanya dengan kehadiran lima pemain baharu dalam skuad.

"Kami fokus untuk saling mengenali dan membina keserasian secepat mungkin kerana ini adalah perlawanan yang penting bagi kami.

"Perlawanan ini boleh menjadi penentu siapa yang akan menduduki tempat pertama atau kedua. Buat masa ini, perkara paling penting adalah untuk memahami antara satu sama lain dan cara bermain bersama pemain-pemain baharu,

"Kami cuba lakukan ini dalam setiap sesi latihan kerana kebanyakan daripada kami menggunakan bahasa yang hampir sama. Jadi saya cuba bantu rakan sepasukan dari segi komunikasi dan penyesuaian agar proses itu lebih cepat," jelas Enderick.

Pemain berusia 30 tahun itu turut memaklumkan bahawa masih mempunyai baki dua tahun kontrak bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

MOHAMAD KHAIRIE KHALID