KUALA LUMPUR, 6 Jun- Pemain warisan Harimau Malaya, Hector Hevel, mendedahkan akan menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M), bermula Ogos depan.
Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belanda berusia 29 tahun itu berkata turut berpendapat saingan Liga M semakin kompetitif dan menunjukkan perkembangan positif.
"Liga Malaysia agak baik, pemain-pemain yang berada dalam pasukan kebangsaan, mereka mempunyai tahap tertentu yang jelas menunjukkan mereka adalah yang terbaik dari negara ini, dan kebanyakan mereka bermain dalam liga ini. Jadi, ini menunjukkan sesuatu tentang liga itu sendiri ia mencerminkan kualiti para pemain. Ya, saya rasa ia adalah liga yang baik", katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perlawanan kedua Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2026 / 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun nanti, Hector memuji pendekatan taktikal yang diterapkan ketua jurulatih pasukan, Peter Cklamovski yang disifatkannya mempunyai visi yang jelas sejak awal kehadirannya.
"Ya, sejak kali pertama beliau datang, beliau sudah mempunyai idea yang jelas. Beliau jelaskan idea tersebut dan kami melaksanakannya seperti yang beliau mahukan. Saya rasa yang itu boleh lihat dengan jelas semasa perlawanan menentang Nepal.
"Sudah tentu dalam dua perlawanan lain, kami tukar formasi dan ada pertukaran pemain keluar masuk, tetapi ideanya tetap sama. Jadi, kami cuba laksanakan sebaik mungkin", jelas Hevel.
Sebagai rekod, Hevel, pemain kelab Portimonense SC merupakan seorang daripada tujuh pemain warisan yang dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.