fb fb fb fb fb

Xavi bimbing Barcelona buat semusim lagi

Xavi Hernandez bersetuju untuk membimbing Barcelona buat semusim lagi/ Foto Reuters

BARCELONA, 25 April - Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez menarik semula keputusan untuk meletakkan jawatan pada penghujung musim apabila bersetuju untuk membimbing Barcelona untuk musim 2024-2024, kata jurucakap kelab berkenaan kepada Reuters.

Xavi menghabiskan masanya sepanjang hari di dalam mesyuarat bersama para pegawai kelab berkenaan dan bersetuju untuk menyambung kontrak terakhirnya bersama-sama siri syarat yang tidak dinyatakan oleh kelab, kata satu sumber.

Pengendali berusia 44 tahun itu dikatakan akan bercakap kepada media pada Ahad, susulan perlawanan liga bertemu Valencia. Manakala Presiden kelab, Joan Laporta dijadualkan akan mengadakan sidang media pada Khamis untuk bercakap tentang keputusan Xavi kekal bersama Barcelona untuk semusim lagi.

"Xavi akan meneruskan tugas sebagai Pengurus di kelab ini dan pihak pengurusan kelab gembira dengan keputusan berkenaan", kata Naib Presiden kelab , Rafa Yuste kepada pemberita di luar kediaman Presiden Laporta pada Rabu.

Xavi yang bermain untuk Barcelona selama 17 tahun, membuat penampilan sebanyak 767 perlawanan dan memenangi 25 trofi termasuk empat kejuaraan Liga Juara dan lapan kejuaraan La Liga.

Meskipun Barcelona dianggap sebagai kelab gergasi Sepanyol dan Eropah, namun, terpaksa bergelut musim ini dan meletakkan Xavi dalam tekanan selaku pengurus.

Kekalahan 3-2 LaLiga di tangan pendahulu Real Madrid pada Ahad menyebabkan Barcelona ketinggalan 11 mata di belakang musuh ketat, Real Madrid dengan baki enam perlawanan.

Kekalahan itu berlaku beberapa hari selepas mereka tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas tewas 4-1 kepada Paris Saint Germain (PSG)

Sumber memberitahu Reuters bahawa Xavi dijanjikan bahawa tiada perubahan besar dijangkakan terhadap kakitangannya dan Laporta memberi jaminan kepadanya bahawa mereka akan dapat menandatangani pemain elit, walaupun kelab dihambat masalah kewangan yang meruncing.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD