fb fb fb fb fb

PSG hampiri kejuaraan liga kali ke-12

Pemain PSG, Kaylian Mbappe dan rakan sepasukan melambai-lambai ke arah penyokong selepas menewaskan Lorient 4-1 / Foto REUTERS

PARIS, 25 April - Kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG) semakin menghampiri kejuaraan liga buat kali ke-12 selepas menewaskan Lorient 4-1.

Pada perlawanan berkenaan,Ousmane Dembele dan Kaylian Mbappe masing-masing menyumbat dua gol.

Skuad bimbingan Luis Enrique bakal dinobatkan sebagai juara liga pada Rabu sekiranya Monaco yang berada di tangga kedua liga gagal menewaskan Lilie di gelanggang sendiri.

Monaco bagaimanapun berjaya menewaskan Lilie 1-0 hasil jaringan Youssouf Fofana sekali gus merencatkan seketika hasrat PSG bagi bergelar juara.

PSG kini memungut 69 mata, 11 mata di depan Monaco.

Pada perlawanan berkenaan, PSG membuka jaringan pada minit ke-19 menerusi Ousmane Dembele yang berjaya menggelecek dua pertahanan Lorient sebelum merembat masuk bagi membolehkan PSG mendahului 1-0.

PSG seterusnya menggandakan jaringan pada minit ke-22 kali ini melalui Kaylian Mbappe yang menolak masuk bola hasil hantaran Nuno Mendes.

Bersambung babak kedua, PSG sekali lagi berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi Dembele pada minit ke-60 selepas menolak masuk hantaran silang Mbappe.

Lorient berjaya merapatkan gol saguhati menerusi Mohamed Bamba pada minit ke-73 bagi menjadikan kedudukan 3-1.

Mbappe berjaya menyumbat gol keempat PSG pada minit-minit akhir permainan bagi menjadikan kedudukan muktamad 4-1.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD