TEXAS, 20 November - Aksi unggul atlet berpengalaman negara, Wong Weng Son dalam acara Changquan lelaki berjaya menghadiahkan emas pertama buat kem negara dalam Kejohanan Wushu Dunia di sini.
Kejayaan tersebut diraih selepas Wen Son mengutip 9.826 mata untuk muncul juara.
Kejayaan itu sekali gus mengubati kekecewaan atlet berusia 31 tahun itu yang sekadar meraih perak acara sama pada edisi 2019 di Shanghai, China.
Seorang lagi atlet negara yang beraksi dalam acara sama, Clement Ting meraih gangsa di belakang pemenang perak dari Indonesia.
Sementara itu, tiga pingat perak disumbangkan Loh Ying Ting dalam acara Changquan wanita, Clement Ting (Daoshu Lelaki) dan Sydney Chin (Taijijian wanita).
Bekas juara dunia Nandao wanita 2019, Tan Cheong Min pula sekadar meraih pingat gangsa dalam acara Nangun wanita.
Atlet negara akan meneruskan saingan dalam 10 acara lagi hari ini.