KUALA LUMPUR, 25 November – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyatakan kesediaan untuk membuka ruang kepada pemain profesional menjalani latihan bersama pemain kebangsaan, dalam usaha memperkukuh semula cabang perseorangan lelaki negara.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen berkata beberapa pemain profesional seperti Aidil Sholeh Ali Sadikin (ranking ke-49 dunia) dan Jacky Kok (ranking ke-68 dunia) telah mempamerkan prestasi memberangsangkan musim ini, sekali gus membuktikan mereka wajar dipertimbangkan untuk menyertai sesi latihan bersama.
Kenneth Jonassen/RTM
“Bagi saya, itu bukan sesuatu yang saya boleh putuskan. Mereka perlu membuat keputusan untuk diri sendiri. Jika pemain mahu, mereka boleh datang dan mencuba. Jika tidak boleh menyertai sepenuhnya, mungkin kita boleh mencari bentuk kerjasama lain untuk membolehkan mereka turut serta dalam sesi latihan.
“Secara keseluruhannya, matlamat utama adalah untuk meningkatkan tahap perseorangan lelaki Malaysia. Apabila bermain dalam kejohanan, kita mungkin bersaing antara satu sama lain, tetapi di sini, di tempat sendiri, kita harus mencari cara terbaik untuk berlatih bersama sebagai sebuah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini.
Jurulatih dari Denmark itu turut menegaskan kesediaannya menerima mana-mana pemain luar untuk menyertai program latihan BAM, sama ada secara tetap atau melalui kerjasama berkala.
Tambah Jonassen, sesi latihan bersama antara pemain kebangsaan dan profesional merupakan salah satu pendekatan terbaik untuk mengembalikan standard tinggi perseorangan lelaki, terutamanya selepas pemain seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh kerap mengalami kekalahan awal dalam kejohanan antarabangsa musim ini.