RIYADH, 25 November – Tabung Pembangunan Arab Saudi (SFD) akan menyediakan pinjaman bersyarat sehingga AS$1 bilion bagi membina atau meningkatkan infrastruktur bola sepak di negara membangun, di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Inisiatif itu bertujuan mempromosikan pembangunan lestari melalui pelaburan dalam kemudahan sukan, dengan fokus kepada penyertaan sosial, pemerkasaan belia dan pertumbuhan ekonomi.
Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, “Peranan FIFA adalah untuk membangunkan bola sepak di seluruh dunia, dan banyak Persatuan Ahli FIFA memerlukan sokongan tambahan bagi infrastruktur yang diperlukan untuk menganjurkan kejohanan. Perjanjian itu merupakan langkah penting untuk memastikan kemudahan yang membolehkan bola sepak benar-benar global.”
Arab Saudi telah melabur berbilion dolar dalam pelbagai acara sukan termasuk bola sepak, Formula Satu, tinju dan golf, namun pengkritik menuduh negara itu melakukan “sportswashing” berikutan rekod hak asasi manusia.
Kerajaan Arab Saudi menafikan sebarang tuduhan pelanggaran hak asasi manusia.
SFD turut menyediakan pinjaman bersyarat dan bantuan teknikal untuk membiayai projek pembangunan di negara membangun. -REUTERS