fb fb fb fb fb

WUG 2025: Muhammad Azeem kempunan podium

Foto RTM

BOCHUM, 23 Julai - Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi terlepas podium apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat acara final 100 meter (m) lelaki Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, di sini.

Muhammad Azeem menamatkan acara reben biru itu dengan catatan masa 10.35 saat (s) iaitu rekod terbaik dicatat beliau dalam keseluruhan tiga perlumbaan termasuk aksi separuh akhir dan pusingan pertama di sini, namun jauh dari masa terbaiknya musim ini 10.20s.

Pingat emas menjadi milik Bayanda Walaza dari Afrika Selatan dengan masa 10.16s, manakala perak diraih jaguh Thailand Puripol Boonson (10.22s) dan atlet Jepun Hiroki Yanagita gangsa dengan 10.23s.

Terdahulu, penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat berusia 22 tahun itu layak ke final selepas menamatkan saringan tiga pusingan separuh akhir di tempat ketiga dengan catatan 10.43s di belakang Walaza (10.31s) dan Dominik Mark Illovszky dari Hungary (10.32s).

“Mungkin itu sudah tertulis, saya pun dah cuba beri yang terbaik tapi Allah lebih tahu, tapi Allah lebih mengetahui. Saya bersyukur untuk habiskan larian, paling penting saya beri yang terbaik, apa saya mampu dalam keadaan cuaca macam ini. Secara jujur saya tak biasa dengan keadaan di Eropah tapi itu bukan alasan.

“Tipulah tak kecewa, sasaran saya datang sini bukan saja untuk layak ke final tapi untuk letakkan diri di podium, hanya selangkah lagi ke podium lebih sakit sebenarnya.

"Tapi inilah kenyataan yang perlu dihadapi untuk menjadikan saya lebih baik masa akan datang,” kata Muhammad Azeem ketika ditemui selepas perlumbaan.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu yang juga pemegang rekod kebangsaan 10.09s, akan meneruskan cabaran dalam acara 200m malam ini (waktu Malaysia) sebelum membantu kuartet 4x100m pada Sabtu.

Sementara itu, impian jaguh pecut 400m negara Umar Osman untuk melangkah ke final tidak kesampaian selepas menamatkan saringan dua separuh akhir 400m lelaki di tempat keenam dengan catatan terburuk musim ini 47.10s.

“Dari segi catatan masa, ini persembahan terburuk saya tahun ini, jadi banyak lagi saya perlu perbaiki untuk kejohanan akan datang dan Sukan SEA 2025,” kata pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 itu yang dijadual turun beraksi dalam acara 4x400m lelaki dan campuran selepas ini.

Dalam pada itu, biarpun menduduki tempat terakhir, Hizillawanty Jamain melakukan catatan terbaiknya musim ini apabila merekodkan 2:18.45s dalam saringan dua pusingan pertama 800m wanita.

Dalam acara 400m lari berpagar wanita pula, Mandy Goh Li menduduki tempat kelima dalam saringan empat pusingan pertama dengan masa 1:03.12s sementara Farrell Glenn Felix Jurus terkandas di pusingan kelayakan lompat tinggi lelaki.

Saingan olahraga yang bermula Isnin lepas dijadual berlangsung hingga Ahad. - BERNAMA

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD