fb fb fb fb fb

Crystal Palace rayu penyingkiran dari Liga Europa

Foto REUTERS

LONDON, 23 Julai – Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan UEFA yang menyingkirkan mereka daripada saingan Liga Europa susulan dakwaan pelanggaran peraturan pemilikan pelbagai kelab.

UEFA menerusi Badan Kawalan Kewangan Kelab (CFCB) awal bulan ini telah menurunkan Palace ke saingan Liga Konferensi iaitu pertandingan ketiga tertinggi Eropah kerana presiden Eagle Football Group, John Textor, didakwa memiliki kepentingan kawalan dalam kedua-dua kelab, Crystal Palace dan Olympique Lyonnais (Lyon).

Sebaliknya, Lyon yang turut layak ke Liga Europa tetap dibenarkan menyertai kejohanan itu.

Palace sebelum ini menjelaskan bahawa pemilik bersama pasukan NFL New York Jets, Robert "Woody" Johnson telah menandatangani perjanjian sah dari segi undang-undang untuk membeli pegangan Eagle Football Holding dalam kelab tersebut, tertakluk kepada kelulusan Liga Perdana Inggeris.

Namun begitu, Palace gagal memenuhi tarikh akhir UEFA pada bulan Mac untuk mematuhi peraturan pemilikan pelbagai kelab sebelum mereka muncul juara Piala FA pada Mei dan melayakkan diri ke pentas Eropah.

Sekiranya rayuan Palace ditolak, tempat mereka dalam Liga Europa akan digantikan oleh Nottingham Forest yang menamatkan musim EPL di tangga ketujuh. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD