GENEVA, 23 Julai – Penyerang England, Chloe Kelly muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan untuk membantu pasukannya menewaskan Itali 2-1 pada separuh akhir Kejohanan EURO Wanita, awal pagi tadi.
England yang ketinggalan 0-1 di babak pertama, bangkit menerusi jaringan dramatik pada masa kecederaan sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan penuh bergaya.
Itali terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi rembatan kencang Barbara Bonansea ke penjuru atas gawang, hasil satu gerakan dari bahagian kanan padang.
Skuad The Lionesses yang juga juara bertahan terus mendominasi perlawanan, namun percubaan demi percubaan sering tersasar atau berjaya disekat pertahanan Itali yang bertahan dengan cukup disiplin.
Harapan England seakan berkubur sebelum pemain muda berusia 19 tahun, Michelle Agyemang, menyamakan kedudukan pada minit akhir permainan selepas mengambil kesempatan daripada kekalutan di dalam kotak penalti.
Perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dan pada minit ke-110, Emma Severini menjatuhkan Beth Mead dalam kotak penalti sekali gus memberikan sepakan penalti buat England.
Sepakan pertama Kelly berjaya diselamatkan penjaga gol Itali, namun beliau pantas menyambar bola muntah untuk mencetak gol kemenangan.
England akan menanti pemenang antara Sepanyol dan Jerman di pentas akhir. - REUTERS