fb fb fb fb fb

Ragbi: Kevin Walters dilantik ketua jurulatih Australia

Foto Facebook rugbyleaguecoach

SYDNEY, 24 Julai – Bekas jurulatih Brisbane Broncos, Kevin Walters dilantik sebagai ketua jurulatih skuad ragbi kebangsaan Australia, bagi menghadapi siri Ashes menentang England yang bakal berlangsung Oktober depan.

Walters, yang sebelum ini disingkirkan oleh Broncos tahun lalu, menggantikan Mal Meninga yang kini memegang jawatan sebagai ketua jurulatih kelab baharu NRL, Perth Bears.

Pengerusi Suruhanjaya Ragbi Liga Australia, Peter V’landys menyifatkan pelantikan Walters sebagai keputusan tepat berdasarkan pengalamannya yang luas sebagai pemain dan jurulatih.

“Kevin pernah bermain untuk Kangaroos, memimpin Brisbane Broncos dan pasukan Queensland Maroons dengan cemerlang, dan akan membawa kepakaran itu ke dalam pasukan kebangsaan,” kata V’landys.

“Beliau pernah menjelajah bersama Kangaroos sebagai pemain, malah menjadi pemimpin dalam dan luar padang.

"Latar belakang kejurulatihannya amat sesuai untuk memacu pasukan ini", katanya.

Sepanjang kariernya, Walters mencatat 291 penampilan bersama Canberra Raiders dan Brisbane Broncos serta memenangi enam kejuaraan NRL.

Beliau juga tampil dalam 20 perlawanan State of Origin untuk Queensland dan 11 perlawanan antarabangsa bersama Australia.

Siri Ashes akan membuka tirai pada 25 Oktober di Stadium Wembley, sebelum dua lagi perlawanan diadakan di Stadium Baharu Everton di Bramley-Moore Dock, Liverpool serta di Headingley, Leeds.

Kali terakhir kedua-dua negara bertemu adalah di pentas final Piala Dunia 2017, yang menyaksikan Australia menang tipis 6-0 ke atas England.

Dalam perkembangan berasingan, jurulatih skuad wanita Australia, Jess Skinner, disahkan akan menyambung khidmatnya bersama pasukan Jillaroos sehingga Piala Dunia 2026. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD