ESSEN, 15 Julai - Barisan atlet terbaik yang mengibarkan cabaran Malaysia akan turun dengan semangat tinggi dan impian besar pada Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 27 Julai di Rhine-Ruhr di sini.
Sebanyak 64 atlet, terdiri daripada 39 lelaki dan 25 wanita akan menyertai enam acara sukan iaitu gimnastik artistik, badminton, memanah, olahraga, renang dan taekwondo pada temasya sukan dwitahunan anjuran Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU) itu.
Dalam sukan olahraga, tumpuan terarah kepada jaguh pecut, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang dan pemegang rekod 400 meter (m) kebangsaan,, Umar Osman selain pemegang rekod lontar peluru kebangsaan, Jonah Chang Rigan.
Acara memanah pula menampilkan trio recurve wanita yang beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, iaitu Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil.
Bagi sukan taekwondo, harapan disandarkan kepada pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 di Kemboja iaitu Muhammad Syafiq Zuber dan bintang muda poomsae negara, Yow Mei Yee.
Dalam acara renang, atlet Olimpik dan pemegang rekod 400m gaya bebas kebangsaan Khiew Hoe Yen, berpotensi menjelmakan kilauan pingat, selain skuad badminton di bawah bimbingan ketua jurulatih Datuk Rashid Sidek yang berazam memperbaiki pungutan dua gangsa pada edisi lepas.
Ketua Kontinjen Negara, Datuk Prof Madya Dr Mohd Hafiz Yusoff berkata kekuatan utama kontinjen Malaysia kali ini terletak pada semangat kebersamaan yang kukuh dalam kalangan semua pihak yang terlibat.
“Daripada pemerhatian saya, bantuan dan sokongan moral daripada semua pihak amat kuat terutamanya KPT (Kementerian Pengajian Tinggi), Seksyen Sukan, pasukan MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia), IPT (institusi pengajian tinggi) yang bergabung di bawah satu panji iaitu Malaysia.
“Kita tidak datang ke sini sebagai wakil UM (Universiti Malaya), UiTM (Universiti Teknologi Mara) atau UPM (Universiti Putra Malaysia) berbeza-beza, yang kita bawa hanya satu, Jalur Gemilang. Inilah semangat, kekuatan dan keunikan pasukan Malaysia di WUG 2025,” katanya kepada Bernama.
Beliau bagaimanapun mengakui kontinjen negara turut berdepan cabaran besar susulan pelaksanaan format desentralisasi oleh pihak penganjur.
“Konsep temasya kali ini tidak berpusat. Semua acara diadakan di lokasi berasingan merentasi enam bandar dan kontinjen terpaksa beroperasi secara terpecah serta mengurus logistik masing-masing. Cabaran terbesar adalah bagaimana kita nak kekalkan semangat pasukan dan moral atlet.
“Disebabkan lokasi yang berbeza dan tiada penempatan berpusat, sukar untuk kita pupuk semangat kebersamaan atau semangat berpasukan seperti dalam temasya lain. Kami bimbang naik turun emosi dalam kalangan atlet dan pelajar yang mungkin akan berlaku akibat persekitaran yang tidak bersatu ini,” katanya.
WUG 2025 antara temasya sukan terbesar dunia tahun ini, kira-kira 9,000 atlet dan pegawai dari lebih 100 negara dijangka membanjiri lima bandar utama dalam Metropolitan Rhine-Ruhr iaitu Bochum, Duisburg, Essen, Mulheim an der Ruhr dan Hagen serta bandar Berlin.
Rhine-Ruhr menyimpan warisan panjang dalam landskap sukan universiti.
Sebelum wujudnya WUG moden pada 1959, Jerman sudah menjadi tuan rumah kepada Minggu Sukan Universiti Antarabangsa Ketiga di Dortmund pada 1953 yang menjadi antara simbol awal kebangkitan semangat kesukanan Eropah selepas Perang Dunia Kedua.
Duisburg, satu daripada venue utama turut dikenang kerana penganjuran edisi 1989 yang berjaya dianjurkan dalam tempoh hanya 153 hari selepas menggantikan tuan rumah asal Sao Paulo, Brazil.
Sebagai simbol rasmi temasya, maskot WUG 2025 dinamakan Wanda iaitu seekor peregrine falcon, burung terpantas di dunia yang mampu terbang secara menjunam dengan kelajuan lebih 300 kilometer sejam.
Burung indah itu bukan sahaja melambangkan kepantasan dan ketangkasan, malah spesies paling meluas di dunia yang hidup dalam pelbagai persekitaran, termasuk kawasan bandar dan pascaindustri di sepanjang Sungai Rhine dan Ruhr.
Bagi kontinjen negara yang menyasarkan tujuh pingat tanpa mengira warna, penyertaan kali ini bukan sekadar memenuhi jadual pertandingan antarabangsa tetapi platform menguji keupayaan sebenar atlet sambil menimba pengalaman bertaraf dunia.
Upacara pembukaan rasmi WUG 2025 yang menawarkan keseluruhan 234 pingat emas dijadualkan berlangsung di Schauinsland-Reisen-Arena pada malam esok (tengah malam waktu Malaysia).- BERNAMA