fb fb fb fb fb

Pelari maraton tertua di dunia meninggal dunia pada usia 114 tahun

Foto AFP

NEW DELHI, 15 Julai - Fauja Singh dari India, seorang pelari jarak jauh tertua di dunia, telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada usia 114 tahun, kata penulis biografinya pada Selasa.

Singh, warganegara Britain kelahiran India, yang digelar "Taufan Berturban", meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kenderaan di daerah Jalandhar, negeri Punjab pada Isnin.

"‘Taufan Berturban’ saya sudah tiada, dia telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenalpasti di kampung halamannya, Bias, ketika sedang melintas jalan, berehatlah dengan tenang, Fauja kesayangan saya." tulis penulis biografinya, Khushwant Singh, di platform X.

Singh tidak mempunyai sijil kelahiran tetapi keluarganya mengatakan beliau dilahirkan pada 1 April 1911.

Beliau mampu berlari maraton sejauh 42 km sehingga usia 100 tahun.

Perlumbaan terakhirnya ialah acara 10 kilometer pada Maraton Hong Kong 2013 ketika berusia 101 tahun dan beliau menamatka larian dalam masa satu jam, 32 minit dan 28 saat.

Beliau menjadi sensasi antarabangsa apabila mula berlari jarak jauh pada usia lanjut 89 tahun selepas kematian isteri dan salah seorang anak lelakinya serta terinspirasi setelah melihat maraton di televisyen.

Walaupun secara meluas dianggap sebagai pelari maraton tertua di dunia, beliau tidak diperakui oleh Guinness World Records kerana tidak dapat membuktikan usianya, dengan mengatakan sijil kelahiran tidak wujud ketika beliau dilahirkan semasa pemerintahan kolonial British pada tahun 1911.

Singh pernah menjadi pembawa obor Olimpik di Athens 2004 dan London 2012, serta muncul dalam iklan bersama bintang sukan terkenal seperti David Beckham dan Muhammad Ali.

Kekuatan dan kecergasannya dikaitkan dengan rutin berjalan di ladang serta diet manisan “laddu” India yang dipenuhi buah-buahan kering termasuk dadih buatan sendiri.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, turut memberi penghormatan di media sosial.

“Fauja Singh luar biasa kerana personalitinya yang unik dan cara beliau memberi inspirasi kepada belia India dalam topik penting iaitu kecergasan.

“Beliau adalah seorang atlet luar biasa dengan semangat yang luar biasa. Kehilangan beliau amat dirasai. Fikiran dan doa saya bersama keluarganya serta para peminatnya di seluruh dunia.” kata Modi di X. - AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH