fb fb fb fb fb

Wu Yibing lakar sejarah pemain China pertama mara ke pusingan ketiga Terbuka AS

(Pemain tenis China, Wu Yibing / AFP)

NEW YORK, 1 September- Wu Yibing mencipta sejarah pada Rabu apabila menjadi pemain pertama dari China mara ke pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat.

Pemain berbakat berusia 22 tahun itu menewaskan lawan dari pusingan kelayakan pemain Portugal Nuno Borges dalam aksi drama lima set.

Wu bangkit daripada ketinggalan untuk menutup kemenangan 6-7 (3/7), 7-6 (7/4), 4-6, 6-4, 6-4 dalam masa 3 jam 47 minit.

Wu adalah pemain pertama dari China yang mara ke pusingan ketiga mana-mana kejohanan Grand Slam sejak Kho Sin-Khie mencapai peringkat yang sama di Wimbledon pada 1946.

Kebangkitan Wu muncul selepas lebih banyak kejayaan untuk China dalam undian wanita, di mana Wang Xiyu mengejutkan pilihan ketiga Maria Sakkari untuk mara ke pusingan ketiga Grand Slam buat kali pertama.

Wang, di ranking ke-75, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menumbangkan lawannya dari Greece, yang mara ke separuh akhir tahun lalu, 3-6, 7-5, 7-5 dalam pertembungan dua jam 43 minit.

Pemain kidal itu seterusnya akan menentang Alison Riske-Amritraj dari Amerika Syarikat untuk tempat ke pusingan 16 terakhir.

"Saya hanya cuba yang terbaik untuk menyelamatkan setiap bola," kata Wang yang berusia 21 tahun dalam temu bualnya di gelanggang. "Saya cuba dan belajar."

Wang, juara remaja 2018 di Terbuka AS, turut disertai pada pusingan ketiga oleh Zhang Shuai, yang menewaskan pemain Slovakia Anna Karolina Schmiedlova 7-5, 6-1.

Dua lagi pemain wanita China, Zheng Qinwen dan Yuan Yue bermain perlawanan pusingan kedua pada Khamis. -AFP


(Pemain tenis China, Wu Yibing / AFP)

Media Baharu