MIRI, 3 Jun - Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan mencadangkan pendaki solo negara, Wong Su Chung, 60, dilantik menjadi duta pelancongan Sarawak atas kejayaan beliau menawan puncak Gunung Everest pada 19 Mei lalu.
Wong merupakan anak jati kelahiran Bumi Kenyalang menjadi rakyat Sarawak yang pertama menawan puncak setinggi 8,848.86 meter itu.
Datuk Sebastian Ting berkata beliau telah mengesyorkan perkara itu kepada Menteri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
"Seperti yang anda tahu beliau adalah rakyat Sarawak pertama yang berjaya menakluki Gunung Everest, saya rasa ini tidak pernah berlaku sebelum ini, jadi kami sebagai orang Sarawak amat berbangga atas pencapaian Wong," katanya.
Sebastian berkata demikian ketika mengiringi Wong membuat kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang baru-baru ini.
Bagi Wong, usia bukan penghalang dan menjadikan kejayaan menawan puncak tertinggi di dunia itu sebagai hadiah ulang tahun perkahwinannya yang ke-34.
Berkongsi kejayaan itu, Wong berkata dia mengambil masa selama 12 hari dari base camp untuk meletakkan namanya dalam buku rekod Gunung Everest sebagai rakyat Sarawak yang pertama dari Malaysia.
Wong turut terkejut kerana kejayaannya turut mendapat pengiktirafan kerajaan negeri Sarawak.
"Saya mengambil masa tiga tahun untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal serta memanjatkan doa setiap hari kepada Tuhan supaya ada rezeki dan berjaya mendeki puncak Everest.
"Saya mohon perlindungan untuk dapat kembali dengan selamat memandangkan pendakian Gunung Everest ada rekod lapan peratus kadar kematian," kongsi beliau kepada wartawan yang disambut meriah sebagai Hero Sarawak di Lapangan Terbang Miri pada 25 Mei lalu.
Untuk mengekalkan stamina fizikal dan mental beliau melakukan latihan dengan mendaki puncak kelapan tertinggi di dunia pada tahun lalu serta beberapa gunung yang lain termasuk gunung Kinabalu.
Beliau akuinya perjalanannya agak mencabar dan berisiko besar membuatkan dirinya nekad mendaki dan menuruni puncak Everest selama 45 hari.
“Perjalanan untuk sampai ke puncak itu banyak cabarannya tetapi saya tetapkan dalam hati dan kuatkan perasaan untuk mengatasi setiap cabaran sepanjang perjalanan itu dan tidak sesekali berputus asa.
“Bagi saya, sampai ke puncak adalah bahagian pertama, tetapi turun dengan selamat semasa badan letih adalah satu lagi cabaran besar kerana di situlah bahaya mengintai,” kongsinya yang merasa bangga mengibarkan bendera Bumi Kenyalang di puncak tertinggi dunia itu.