fb fb fb fb fb

Wong Ling Ching berjuang pulih sebelum Sukan SEA Thailand

Wong Ling Ching/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Disember – Pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching kini kesuntukan masa untuk kembali pulih menjelang Sukan SEA Thailand selepas mengalami demam dan selsema ketika fasa akhir persiapan.

Keadaan itu menimbulkan kegusaran berikutan insiden berulang di mana masalah kesihatan menjejaskan prestasinya pada edisi lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu memaklumkan simptom demam dan selsema mula dirasai beberapa hari lalu, yang turut menular dalam kem badminton wanita negara.

“Sejak minggu lepas saya demam dan selsema…semalam pun masih demam. Ramai pemain jatuh sakit. Eng Ler Qi kena dulu, dan sebab kami berlatih bersama, mungkin ia berjangkit,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, di sini.

Meskipun belum pulih sepenuhnya, Ling Ching tetap menjalani latihan ringan dengan pemantauan rapi ketua jurulatih, Iskandar Zulkarnain Zainuddin bagi mengelakkan beban fizikal berlebihan.

Ling Ching berharap dapat pulih sepenuhnya sebelum acara badminton bermula Ahad ini, sekali gus mengelakkan nasib sama seperti penampilan sulungnya di Phnom Penh dua tahun lalu.

“Di Sukan SEA lepas saya juga sakit di sana. Kali ini saya cuma harap saya sihat dan dapat bermain baik untuk pasukan,” ujarnya.

Beliau turut mengakui rombakan skuad mungkin dilakukan bergantung kepada tahap kecergasan pemain.

Meskipun meraih beberapa kemenangan penting musim ini, Ling Ching menegaskan beliau enggan terlalu memikirkan sasaran pingat, sebaliknya kekal fokus kepada peningkatan prestasi seperti yang ditekankan jurulatihnya.

Ling Ching bersedia menghadapi cabaran di Thailand, terutamanya dengan kehadiran pemain elit dunia termasuk bekas juara dunia Thailand, Ratchanok Intanon.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN