fb fb fb fb fb

Shahmalarani bakal terima RM40,000 di bawah SHAKAM

Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh bercakap kepada pemberita selepas Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang II Penggal ke-35, Sesi 2025-2026 di Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Disember - Atlet karate negara, C. Shahmalarani bakal menerima RM40,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas meraih pingat perak dalam Kejohanan Karate Dunia di Kaherah, Mesir, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata insentif itu adalah pengiktirafan atas pencapaian cemerlang atlet tersebut yang berjaya menempatkan Malaysia dalam kelompok terbaik dunia.

“Untuk C. Shahmalarani, beliau mendapat pingat perak dan ini merupakan Kejohanan Dunia K2 iaitu dua hingga empat tahun, jadi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Shahmalarani akan dapat daripada Majlis Sukan Negara (MSN) adalah RM40,000,” katanya.

SHAKAM merupakan skim ganjaran di bawah MSN bagi menghargai pencapaian atlet di kejohanan utama termasuk yang berada dalam program podium.

Shahmalarani muncul naib juara selepas tewas kepada atlet Uzbekistan berusia 19 tahun, Gulshan Alimardanova yang mempamerkan aksi dominan dalam perebutan pingat emas kategori kumite 50 kilogram.

Dalam perlawanan tersebut, Alimardanova tampil lebih agresif dan menguasai gelanggang sehingga meraih kemenangan 6-1, sekali gus memaksa Shahmalarani berpuas hati dengan pingat perak.

Kejayaan itu tetap dianggap signifikan buat Malaysia memandangkan kategori tersebut merupakan antara acara paling kompetitif di pentas dunia, selain menjadi indikator ketahanan dan keupayaan atlet negara bersaing di peringkat tertinggi.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN