KUALA LUMPUR, 2 Disember – Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju menanggung sepenuhnya kos tambahan perpindahan kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 berikutan banjir yang melanda selatan Thailand, sekali gus memaksa pertukaran lokasi pertandingan dari Songkhla ke Bangkok dan Chonburi.
Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan jumlah kos keseluruhan dianggarkan melebihi RM500,000.
MSN dalam kenyataan memaklumkan langkah segera itu diambil bagi memastikan 206 atlet dan pegawai daripada 10 jenis sukan tidak terjejas dari segi fokus dan persiapan apabila lokasi pertandingan terpaksa diubah pada saat-saat akhir akibat kejadian luar jangka.
Menurut MSN, kos tambahan yang ditanggung merangkumi atlet Kategori A dan Kategori B, sekali gus menepis kebimbangan yang boleh menjejaskan prestasi kontinjen negara menjelang pembukaan rasmi Sukan SEA pada 9 Disember ini.
“Kelulusan menampung kos tambahan ini diharapkan menjadi pembakar semangat, menyemarakkan kesungguhan semua atlet dan mendorong mereka berjuang habis-habisan untuk membawa pulang pingat kepada negara.
“Keputusan ini juga selari dengan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap nasib 206 atlet dan pegawai yang berdepan kesukaran setelah dipaksa berpindah hanya beberapa hari sebelum temasya Sukan SEA Ke-33 bermula,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Songkhla dijadualkan menjadi lokasi pertandingan bagi acara muay thai, pencak silat, bola sepak lelaki, catur, judo, kabaddi, karate, petanque, wushu dan gusti.
Namun, selepas perubahan lokasi dibuat, sembilan acara dipindahkan ke Bangkok, manakala acara gusti akan berlangsung di Chonburi.