PARIS, 2 September- Atlet lompat jauh para lelaki negara, Wong Kar Gee Kategori T12 terlepas pingat buat negara pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.
Atlet berusia 33 tahun itu menyatakan beliau kurang berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan hari ini.
Saingan yang berlangsung Stade De France menyaksikan Wong Kar Gee melakukan lompatan dengan mata terbaik 6.85 meter yang hanya kekurangan 0.03 meter untuk meraih pingat gangsa yang menjadi milik atlet Argentina Fernando Vazquez yang mencatatkan 6.88 meter.
"Saya tidak dapat menampilkan aksi terbaik dan hanya merekodkan 6.85 meter. Jadi kedudukan saya berada di belakang atlet Argentina.
"Tetapi ini merupakan satu pengalaman yang baik, jadi saya akan cuba untuk memperbaiki kelemahan teknik," katanya kepada pemberita di sini.
Pingat emas menjadi milik atlet Azerbaijan Said Najafzade dengan catatan 7.27 meter manakala pingat perak diraih atlet Uzbekistan Doniyor Saliev dengan catatan 7.16 meter.