PARIS, 2 September - Pemain perseorangan lelaki para negara, Cheah Liek Hou berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir kategori SU5, sekali gus berpeluang mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi Tokyo 2020.
Atlet berusia 36 tahun itu tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan musuh ketatnya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi, dalam masa 47 minit dengan keputusan 21-17, 21-17.
Di pentas akhir, Liek Hou akan berhadapan dengan seorang lagi pemain dari Indonesia, Suryo Nugroho.
"Saya baharu mendapat rentak permainan, dan saya tidak boleh terlalu rileks untuk perlawanan esok. Saya tidak boleh terlalu yakin, dan saya akan fokus sepenuhnya dalam perlawanan akhir nanti," kata Liek Hou.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhammad Fareez Anuar akan beraksi dalam penentuan pingat gangsa selepas tewas kepada Nugroho dengan keputusan 12-21, 21-14, 6-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.