fb fb fb fb fb

Wolff jual sebahagian saham Mercedes F1 kepada CEO Crowdstrike

Ketua pasukan Mercedes Formula Satu (F1), Toto Wolff/REUTERS

STUTTGART, 12 November- Ketua pasukan Mercedes Formula Satu (F1), Toto Wolff dilaporkan sedang dalam rundingan akhir untuk menjual sebahagian pegangan sahamnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Crowdstrike, George Kurtz.

Menurut laporan Financial Times pada Selasa, perjanjian itu dilaporkan menilai pasukan berkenaan pada nilai rekod AS$6 bilion (RM28.4 bilion).

Ketika ini, Wolff dari Austria, Mercedes-Benz dan syarikat petrokimia milik jutawan Britain, Jim Ratcliffe, Ineos, masing-masing memegang 33 peratus saham dalam pasukan itu.

Mercedes tidak mengulas lanjut namun menegaskan tadbir urus pasukan akan kekal tidak berubah dan ketiga-tiga rakan kongsi kekal komited terhadap kejayaan berterusan pasukan tersebut.

Menurut laporan Financial Times dan Sportico, Wolff yang juga mengetuai bahagian sukan permotoran Mercedes bercadang membawa masuk pelabur luar ke dalam syarikat pegangan yang memiliki bahagiannya dalam pasukan itu.

Sumber memaklumkan pelabur baharu dijangka memperoleh kira-kira lima peratus pegangan dengan Wolff kekal menerajui peranannya.

Crowdstrike, syarikat teknologi keselamatan siber global, merupakan rakan penaja rasmi Mercedes dengan jenama syarikat itu dipaparkan pada jentera dan pakaian pelumba. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM