TURIN, 12 November- Pemain Itali, Lorenzo Musetti mencatat kemenangan dramatik ke atas Alex de Minaur 7-5, 3-6, 7-5 dalam saingan peringkat kumpulan ATP Finals pada Selasa (11 November).
Pilihan kesembilan itu kelihatan hampir tersingkir apabila De Minaur mempamerkan dominasi untuk menoktahkan perlawanan.
Namun, kebangkitan luar biasa Musetti di penghujung set penentuan mengejutkan ramai termasuk penonton yang telah meninggalkan gelanggang lebih awal.
Musetti memenangi set pertama selepas mematahkan servis lawan pada kedudukan 5-5, sebelum De Minaur bangkit dalam set kedua dengan melakukan pemulihan dan meraih mata pemecah servis pertamanya pada kedudukan 4-4 untuk menyamakan kedudukan.
De Minaur tampak menguasai permainan apabila mendahului 2-0 pada set terakhir, namun Musetti menemui semangat baharu untuk melakukan kebangkitan menakjubkan yang memastikan tempatnya terus kekal dalam saingan.
Kemenangan tersebut memastikan semua empat pemain dalam Kumpulan Jimmy Connors masih berpeluang mara ke separuh akhir.
Musetti akan menentang Carlos Alcaraz yang mencatat dua kemenangan, manakala Taylor Fritz bakal berdepan De Minaur pada Khamis bagi melengkapkan saingan peringkat kumpulan.
Dalam pada itu, perlawanan turut terganggu susulan insiden kecemasan perubatan dalam kalangan penonton, insiden ketiga melibatkan peminat selepas dua kematian akibat serangan jantung dilaporkan sehari sebelumnya.
Perlawanan dihentikan beberapa minit sebelum disambung semula dan media tempatan melaporkan seorang penonton dibawa ke hospital dalam keadaan serius tetapi stabil. -REUTERS