fb fb fb fb fb

Piala Dunia: Messi nilai prestasi semasa, elak jadi beban Argentina

Lionel Messi/REUTERS

FLORIDA, 12 November- Kapten Argentina, Lionel Messi menegaskan beliau tidak mahu menjadi "beban" kepada pasukan kebangsaan pada Piala Dunia 2026, namun masih berharap dapat beraksi dan membantu Argentina mempertahankan kejuaraan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Messi, 38 tahun dalam wawancara akhbar sukan Catalan, Diario Sport berkata beliau masih menilai tahap prestasinya hari ke hari serta optimis dapat menyertai kejohanan itu pada musim panas tahun depan.

Dalam temu bual sama, Messi turut mengakui perpisahannya dengan Barcelona terasa janggal kerana tidak dapat menamatkan karier Eropahnya di kelab berkenaan seperti yang diimpikan.

Jelasnya, beliau masih rindu dengan kehidupan di Barcelona dan bercadang untuk kembali menetap di bandar itu suatu hari nanti.

Messi menyertai akademi remaja Barcelona pada usia 13 tahun dan kemudian muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan 672 gol dalam 778 penampilan.

Namun, krisis kewangan yang serius menyebabkan kelab Catalan itu tidak mampu memperbaharui kontraknya pada 2021.

Sepanjang 17 tahun bersama Barca, Messi meraih 10 kejuaraan LaLiga, empat trofi Liga Juara-Juara Eropah dan tiga Piala Kelab Dunia sebelum berpindah ke Inter Miami pada 2023 selepas dua musim bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Bintang kelahiran Rosario itu memperbaharui kontraknya bersama kelab Major League Soccer (MLS) tersebut pada Oktober lalu dan sebelum ini pernah menyatakan Miami berkemungkinan menjadi pasukan terakhirnya.

Sementara beberapa rakan sepasukannya seperti Sergio Busquets dan Jordi Alba merancang untuk bersara pada akhir musim MLS semasa, pemenang lapan kali Ballon d’Or itu menegaskan beliau masih menikmati permainan di padang.

“Apabila tiba masanya saya rasa tidak lagi cergas, sukar beraksi di padang dan tidak lagi menikmatinya, itulah masa untuk saya berhenti. Tapi buat masa ini saya masih seronok bermain dan berasa cukup baik,” katanya. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM