TURIN, 12 November- Pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz mempamerkan aksi juang kental apabila berjaya menundukkan pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz, dengan keputusan 6(2)-7, 7-5, 6-3 dalam perlawanan pusingan robin yang mendebarkan di ATP Finals pada Selasa (11 November).
Kemenangan dalam pertarungan sengit selama 2 jam 48 minit tersebut meletakkan Alcaraz dengan rekod sempurna dua kemenangan daripada dua perlawanan sekali gus menghampiri peluang mara ke separuh akhir.
Fritz yang juga finalis tahun lalu, memulakan perlawanan dengan cemerlang, memaksa "tie-break" dan merampas set pertama.
Alcaraz mengakui beliau bergelut dan tidak selesa dengan servisnya pada awal pertembungan tersebut.
Momentum beralih pada set kedua, Alcaraz berjaya bertahan dan memecahkan servis Fritz di saat-saat akhir untuk menyamakan kedudukan set 7-5.
Pada set penentuan, Fritz mula keletihan manakala Alcaraz meningkatkan intensiti permainan, memecahkan servis Fritz untuk mendahului 4-2 sebelum menamatkan perlawanan 6-3.
Beliau dijangaka akan ke separuh akhir sekiranya Alex de Minaur menewaskan Lorenzo Musetti dalam perlawanan malam.
Alcaraz hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk secara rasmi mengunci kedudukan nombor satu dunia pada penghujung tahun 2025.
Alcaraz akan bertemu Lorenzo Musetti pada Khamis untuk perlawanan terakhir kumpulan. -REUTERS