PORTUGAL, 12 November -Cristiano Ronaldo pada Selasa mengumumkan bahawa beliau akan menamatkan karier bola sepaknya dalam “satu atau dua tahun” selepas memberitahu dunia bahawa persaraan akan datang tidak lama lagi.
"Tidak lama lagi’ bagi saya bermaksud 10 tahun.. Tidak, saya bergurau,” kata Ronaldo melalui panggilan video dalam satu sidang kemuncak global mengenai pelancongan dan pelaburan yang dianjurkan di Arab Saudi.
"Saya sedang menikmati saat ini. Seperti yang anda tahu, dalam bola sepak, apabila anda mencapai umur tertentu, bulan-bulan berlalu dengan sangat pantas.
"Saya rasa sangat baik sekarang. Saya masih menjaringkan gol, masih rasa pantas dan tajam. Saya menikmati permainan saya di pasukan kebangsaan. Tetapi jujur, maksud saya dengan ‘tidak lama lagi’ mungkin satu atau dua tahun."
Penyerang Portugal itu, yang telah menjaringkan lebih 950 gol untuk kelab dan negara, memulakan debut sebagai remaja bersama Sporting pada 2002.
Ronaldo menyambung kontraknya dengan kelab Arab Saudi, Al-Nassr, hingga 2027 pada bulan Jun lalu dan pemain berusia 40 tahun itu juga menyasarkan Piala Dunia tahun depan.
Dengan Portugal hampir memastikan kelayakan ke Piala Dunia 2026, Ronaldo mengesahkan bahawa kejohanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu akan menjadi pentas terakhirnya di arena bola sepak terbesar dunia.
"Sudah tentu, ya, kerana saya akan berusia 41 tahun (pada Piala Dunia),” kata Ronaldo.
"Saya telah memberikan segalanya untuk bola sepak. Saya berada dalam permainan ini selama 25 tahun. Saya telah melakukan segalanya, memiliki banyak rekod di kelab dan juga pasukan kebangsaan.
"Saya sangat bangga. Jadi mari kita nikmati saat ini, hidupkan saat ini." - REUTERS