fb fb fb fb fb

Wirtz sertai Liverpool, pecah rekod pembelian termahal kelab

Pemain tengah Jerman, Florian Wirtz / REUTERS

LONDON, 14 Jun- Juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Jerman, Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen dengan yuran perpindahan mencecah €136.3 juta (euro).

Menurut laporan The Athletic, Wirtz bakal menandatangani kontrak lima tahun, dengan bayaran awal sebanyak €117.5 juta dan tambahan €18.8 juta dalam bentuk insentif.

Jika perpindahan itu dimuktamadkan, ia akan menjadikan Wirtz sebagai pemain termahal dalam sejarah Liverpool, mengatasi pembelian Virgil van Dijk yang dibeli pada harga £75 juta (pound)) pada 2017.

Pemain berusia 21 tahun itu turut menarik minat daripada Bayern Munich dan Manchester City, namun Liverpool berjaya mendahului dalam rundingan walaupun Wirtz masih memiliki dua tahun baki kontrak bersama Leverkusen.

Musim lalu, Wirtz menjaringkan 16 gol dan mencatat 15 umpanan dalam 45 perlawanan, menjadi watak penting dalam kempen cemerlang Leverkusen.

Jika semuanya berjalan lancar, Wirtz akan menjadi pemain kedua yang dibawa masuk oleh Liverpool dalam jendela perpindahan kali ini, selepas ketibaan Jeremie Frimpong, bek kanan dari Belanda yang juga merupakan bekas rakan sepasukan Wirtz di Leverkusen.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Bayer Leverkusen berhubung perkara itu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE