MIAMI, 14 Jun- Bekas bintang NFL dan pemenang Super Bowl, Antonio Brown kini diburu pihak berkuasa Florida atas tuduhan cubaan membunuh, menurut pengesahan pihak polis pada Jumaat.
Waran tangkap dikeluarkan susulan satu insiden pada 16 Mei lalu semasa kejohanan tinju amatur di Miami, yang menyaksikan Brown didakwa melepaskan tembakan selepas terlibat dalam pertengkaran fizikal dengan seorang individu.
Menurut salinan waran, beberapa saksi mendakwa melihat Brown mengambil sepucuk pistol daripada seorang pengawal keselamatan sebelum melepaskan tembakan.
Seorang anggota polis yang bertugas secara sambilan di lokasi kejadian berjaya menahan Brown sebelum ketibaan pihak polis lain.
Bagaimanapun, tiada senjata ditemui pada tubuh Brown, dan individu yang terlibat dalam pergaduhan dengannya tidak dapat dikesan sejurus selepas insiden.
Pihak berkuasa turut menemui dua kelongsong peluru terpakai dan satu sarung pistol di lokasi kejadian.
Dalam kenyataan di platform media sosial X pada 17 Mei, Brown mendakwa dirinya diserang oleh sekumpulan individu yang cuba merompaknya.
“Saya diserang oleh beberapa individu yang cuba merampas barang kemas saya dan mencederakan saya. Polis menahan saya buat sementara waktu bagi mendapatkan keterangan sebelum membebaskan saya. Saya pulang ke rumah malam itu tanpa sebarang tangkapan dilakukan,” tulisnya.
Insiden berkenaan menambah lagi siri kontroversi melibatkan Brown, yang sebelum ini beraksi cemerlang bersama Pittsburgh Steelers sebelum menjuarai Super Bowl dengan pasukan Tampa Bay Buccaneers pada tahun 2021 bersama quarterback legenda, Tom Brady.
Brown pernah berdepan dakwaan serangan seksual dalam satu saman sivil pada 2019 yang kemudian diselesaikan di luar mahkamah. Beliau turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah masuk dan serangan pada 2020 selepas insiden membabitkan sebuah syarikat pengangkutan di kediamannya.
Karier NFL Brown berakhir secara kontroversi apabila beliau meninggalkan padang dengan menanggalkan jersi ketika perlawanan Tampa Bay menentang New York Jets pada 2022.-AFP