KUALA LUMPUR, 14 Jun- Skuad hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers, tekad membuka kempen Piala Negara-Negara 2025 dengan langkah kanan apabila menentang Pakistan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.
Ketua pasukan, Marhan Jalil berkata, kemenangan dalam aksi pembukaan itu amat penting untuk melonjakkan semangat pemain, selain mencerahkan peluang ke pentas separuh akhir.
“Perlawanan pertama ini sangat penting. Kami perlu raih kemenangan bagi tingkatkan motivasi dan keyakinan pasukan. Dalam masa sama, disiplin serta fokus dari awal hingga akhir perlawanan sangat dituntut,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Jelasnya, aspek taktikal dan penguasaan bola perlu diberi penekanan bagi meminimumkan kesilapan, terutama dalam situasi pukulan sudut penalti.
Mengulas kekuatan lawan, Marhan mengakui Pakistan memiliki pakar pukulan sudut penalti yang berkualiti, namun pendekatan pasukan negara tidak tertumpu kepada seorang pemain sahaja.
“Kami tahu Pakistan ada flicker yang bagus, tetapi kami juga bersedia jika mereka turunkan pemain kedua untuk ambil flick. Jadi kami latih semua pertahanan untuk bertindak mengikut rutin yang telah dirancang,” ujarnya.
Tambah Marhan, tekanan beraksi di laman sendiri turut menjadi cabaran, terutama buat pemain muda yang perlu cepat menyesuaikan diri dengan suasana kompetitif.
“Bermain di tempat sendiri memberi kelebihan, tetapi juga datang dengan harapan tinggi daripada penyokong. Setiap pemain kena tahu kendali tekanan itu dengan tenang,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Malaysia menamatkan saingan edisi terdahulu di Gniezno, Poland di tangga ketujuh.