MADRID, 14 Jun – Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid secara rasmi mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani pemain tengah muda berbakat dari Argentina, Franco Mastantuono, dengan kontrak selama enam tahun.
Pemain berusia 17 tahun itu akan menyertai kelab LaLiga tersebut secara rasmi bermula 14 Ogos ini, selepas kelab Sepanyol itu bersetuju membayar kira-kira AS$45 juta (RM211 juta) kepada bekas kelabnya, River Plate.
Mastantuono yang juga mampu beraksi di posisi sayap, menjadi perhatian selepas menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menakjubkan dalam kemenangan Superclasico River Plate ke atas Boca Juniors pada April lalu.
Pemain muda itu turut mencipta sejarah apabila menjadi pemain termuda dalam sejarah River Plate yang menjaringkan gol, dan baru-baru ini menjadi pemain termuda mewakili Argentina dalam perlawanan rasmi, ketika beraksi dalam kelayakan Piala Dunia menentang Chile minggu lalu.
Mastantuono menyertai Real Madrid sebagai pemain ketiga yang direkrut dalam jendela perpindahan musim ini, selepas kelab itu mendapatkan dua pemain pertahanan dari Liga Perdana Inggeris iaitu Dean Huijsen dan Trent Alexander-Arnold.
Pemain dari Akademi River Plate ini turut dikaitkan dengan kelab-kelab utama Eropah seperti Manchester United dan juara Liga Juara Eropah, Paris Saint-Germain, sebelum memilih untuk berhijrah ke Santiago Bernabéu.-REUTERS.