KUALA LUMPUR, 14 Jun - Pakistan mengakui mereka tidak mempunyai kelebihan menjelang pertembungan menentang Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH 2025, yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Menurut ketua jurulatih Pakistan, Tahir Zaman, faktor rekod pertemuan lampau bukanlah penentu kemenangan, dan beliau menyifatkan Speedy Tigers sebagai pasukan berkualiti yang harus dihormati, apatah lagi beraksi di gelanggang sendiri.
"Kami menjangkakan satu perlawanan yang baik sekali lagi menentang Malaysia. Kami menghormati pasukan lawan kerana mereka bermain di gelanggang sendiri dengan sokongan penyokong mereka. Kami hanya memberi tumpuan untuk bermain hoki yang baik, hoki yang berdisiplin itulah sasaran kami.
"Kami tidak akan mengikut rekod kerana hoki telah banyak berubah, begitu juga dengan kedudukan dunia. Kami amat menyedari perkara itu. Kami tahu graf prestasi bukan sahaja pergerakan pasukan kami, tetapi juga pergerakan pasukan-pasukan lain", katanya.
Sementara itu, ketua pasukan Pakistan, Ammad Shakeel Butt, menyifatkan Malaysia sebagai lawan yang kuat, berpengalaman dan sukar ditundukkan, serta menyifatkan perlawanan menetang Speedy Tigers sebagai medan menilai kemampuan sebenar pasukan.
Untuk rekod, Pakistan memiliki kelebihan dalam sejarah pertemuan dengan Malaysia sejak 1968, dengan 20 kemenangan, lapan seri dan hanya lima kekalahan.