KUCHING, 14 Jun- Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) kini sah diterajui oleh Datuk Fazzrudin Abdul Rahman selepas satu-satunya pencabar beliau, Perunding Sukan Dr. Syafiq Abdullah menarik diri daripada persaingan pada saat akhir.
Pengunduran itu diumumkan oleh Presiden FAS yang menamatkan penggal, Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman, ketika Mesyuarat Agung Tahunan FAS bagi penggal 2025-2027 yang diadakan di Kuching, pagi tadi.
Dalam mesyuarat sama, jawatan Timbalan Presiden turut dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Hamzah Brahim selepas tiada pencalonan lain diterima.
Sementara itu, sesi pemilihan turut menyaksikan saingan untuk lima jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco), sekali gus memberi nafas baharu kepada kepimpinan FAS bagi penggal akan datang.
Pelantikan Datuk Fazzrudin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Tupong dijangka membawa dimensi baharu dalam usaha memperkasa pembangunan bola sepak Sarawak di peringkat akar umbi serta memperkukuh prestasi pasukan negeri dalam saingan tempatan.