KUALA LUMPUR, 14 Jun- Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi sekali lagi mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila membantu kuartet Universiti Auburn menjuarai acara 4x100 meter berganti-ganti pada Kejohanan Balapan dan Padang NCAA 2025, awal pagi Jumaat waktu Malaysia.
Turut bergandingan bersama Azeem dalam pasukan Auburn ialah Kayinsola Ajayi, Dario Matau dan Makanakaishe Charamba. Keempat-empat pelari tersebut mempamerkan larian konsisten dan bertenaga untuk merangkul gelaran juara dengan catatan masa 38.33 saat (s).
Universiti Southern California (USC) menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 38.46s, manakala Universiti Negeri Louisiana (LSU) berada di kedudukan ketiga dengan masa 38.56s.
Kejayaan itu hadir selepas kuartet Auburn terlebih dahulu mencipta kejutan pada aksi separuh akhir Rabu lalu apabila mencatat masa 37.97s; rekod baharu buat universiti tersebut sekali gus memberi isyarat awal kemampuan mereka memburu kejuaraan.
Pencapaian berkenaan turut menambah kilauan prestasi Azeem di peringkat NCAA, sekali gus menyemarakkan harapan peminat sukan tanah air terhadap potensi atlet berusia 20 tahun itu untuk terus mencipta nama di peringkat lebih tinggi.