fb fb fb fb fb

Pogacar kembali sarung jersi kuning selepas menang peringkat keenam Dauphine

Pelumba basikal Slovenia, Tadej Pogacar / AFP

COMBLOUX, 14 Jun- Pelumba basikal Slovenia, Tadej Pogacar kembali menguasai saingan Criterium du Dauphine selepas mencatat kemenangan bergaya dalam peringkat keenam perlumbaan, sekali gus merampas semula jersi kuning pendahulu keseluruhan.

Pogacar menamatkan perlumbaan secara solo dengan kelebihan 1 minit 1 saat mengatasi pencabar terdekat dari Denmark, Jonas Vingegaard, dalam perlumbaan yang berlangsung bawah terik matahari dan melibatkan laluan mendaki mencabar.

Kemenangan itu juga merupakan kemenangan ke-97 sepanjang kariernya, sekaligus menyaksikan Pogacar kini berkongsi rekod pelumba aktif dengan jumlah kemenangan terbanyak bersama pelumba pecut Perancis, Arnaud Demare.

Pendahulu keseluruhan sebelum ini, pelumba Belgium Remco Evenepoel hanya mampu menamatkan saingan di tempat kelima dengan ketinggalan 1 minit 50 saat.

Kemenangan itu meyaksikan Pogacar kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan 43 saat di hadapan Vingegaard, 54 saat mengatasi pelumba Jerman Florian Lipowitz dan 1 minit 22 saat di hadapan Evenepoel.

Pelumba berusia 26 tahun itu pernah menyarung jersi kuning dalam edisi ke-77 perlumbaan ini selepas memenangi peringkat pembukaan hujung minggu lalu.

“Saya sangat gembira dapat kembali pakai jersi kuning. Hari ini sangat baik untuk kami,” katanya selepas perlumbaan.

“Saya dapat banyak petanda positif daripada saingan Dauphine ini. Selepas ujian masa (Rabu lalu), saya tak terlalu tertekan dan jelas bentuk prestasi saya semakin pulih.”

Pogacar turut berjaya membalas dendam ke atas Vingegaard di Cote de Domancy, laluan yang menyaksikan beliau ditewaskan dalam ujian masa pada edisi Tour de France 2023.

Pelumba juara dunia itu memecut meninggalkan kumpulan pelumba dengan baki 7km ke garisan penamat. Vingegaard cuba mengejar namun tidak mampu mengekalkan rentak Pogacar yang kekal mendahului hingga ke akhir.

Kemenangan tersebut dilihat sebagai mesej penting Pogacar kepada pencabar-pencabar utama menjelang misi mempertahankan gelaran Tour de France.

Saingan seterusnya pada Sabtu membabitkan laluan gunung sepanjang 132km dari Grand-Aigueblanche ke Valmeinier 1800 yang dijangka menguji sepenuhnya ketahanan pelumba.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE