fb fb fb fb fb

Inter Miami dibelenggu krisis kecederaan pemain, Messi jadi sandaran utama

Lionel Messi / REUTERS

MIAMI, 13 Jun- Inter Miami bakal bergantung sepenuhnya kepada sentuhan magis Lionel Messi dalam aksi pembukaan kempen Piala Dunia Kelab menentang juara Mesir, Al Ahly, Sabtu ini di Hard Rock Stadium.

Ketua jurulatih, Javier Mascherano, terpaksa merombak jentera pertahanan pasukannya selepas beberapa pemain utama disahkan tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

Antara yang digugurkan daripada perlawanan Kumpulan A itu termasuk bek kiri veteran Jordi Alba, pemain pertahanan Gonzalo Lujan serta pemain tengah bertahan Yannick Bright. Alba, yang juga bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona, mengalami kecederaan hamstring dan perlu berehat.

Turut menjadi tanda tanya adalah tahap kecergasan tonggak pertahanan tengah, David Martinez.

“David rasa kurang selesa semalam dan kami tak mahu ambil risiko,” jelas Mascherano kepada media.

Rekod pertahanan Miami juga menjadi kebimbangan menjelang aksi ini, selepas bolos sebanyak 16 gol dalam enam perlawanan kompetitif terakhir.

Mascherano bagaimanapun meletakkan keyakinan penuh kepada Messi untuk memacu jentera serangan.

“Dia berada dalam prestasi baik musim ini. Ada waktu kami rehatkan dia, tapi dia bermain 15 perlawanan terakhir, kecuali aksi menentang Dallas di mana kami rehatkan seluruh skuad,” katanya.

Inter Miami dijadualkan menentang dua lagi pasukan iaitu Porto dan Palmeiras dalam kejohanan edisi kali ini yang melibatkan 32 kelab dari seluruh dunia.

Sementara itu, jurulatih baharu Al Ahly Jose Riveiro yang mengambil alih pasukan bulan lalu turut mengakui ancaman besar yang dibawa oleh Messi.

“Dia pemain yang boleh mengubah rentak perlawanan pada bila-bila masa. Anda tak boleh lupa kehadirannya walau sesaat,” ujar Riveiro dalam sidang media praperlawanan.

“Kekuatan Messi terletak pada visinya terhadap permainan dan itu tak pernah berubah. Walaupun bukan jurulatih, dia memimpin pergerakan rakan sepasukan di padang dan dikelilingi oleh bakat-bakat muda.”

Sebagai rekod, Al Ahly muncul juara Liga Juara-Juara CAF sebanyak empat kali dalam enam edisi terakhir dan kini mengintai peluang mencipta kejutan di pentas dunia.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE