fb fb fb fb fb

Wirtz sah milik The Reds, pecah rekod nilai perpindahan kelab

Florian Wirtz mengikat kontrak bersama Liverpool selama lima tahun / Liverpool FC

LIVERPOOL, 20 Jun- Kelab Inggeris, Liverpool mengesahkan ketibaan pemain tengah menyerang Jerman, Florian Wirtz daripada Bayer Leverkusen, sekali gus memecah rekod perpindahan kelab itu apabila bersetuju membayar £100 juta (pound) dengan tambahan bonus mencecah £16 juta.

Perpindahan tersebut menjadikan Wirtz, 22 tahun, sebagai pemain paling mahal pernah ditandatangani Liverpool, mengatasi nilai perpindahan bek tengah Belanda dan kapten pasukan, Virgil van Dijk yang menyertai kelab itu pada tahun 2017 dengan harga £75 juta.

Wirtz menandatangani kontrak selama lima tahun dan menjadi pemain kelima dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang bernilai lebih £100 juta, menyertai senarai pemain seperti Enzo Fernandez dan Moises Caicedo (Chelsea), Declan Rice (Arsenal), serta Jack Grealish (Manchester City).

“Saya rasa sangat gembira dan bangga. Akhirnya ia selesai selepas lama menunggu. Saya amat teruja untuk memulakan pengembaraan baharu. Saya mahu sesuatu yang berbeza, keluar dari Bundesliga dan mencuba cabaran di Liga Perdana,” ujar Wirtz dalam kenyataan rasmi.

Sebelum ini, Wirtz turut dikaitkan dengan perpindahan ke juara Jerman, Bayern Munich dan Manchester City yang mencari pengganti selepas pemergian tonggak tengah, Kevin De Bruyne.

Di Leverkusen, Wirtz memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab mencipta rekod tanpa kalah dalam saingan liga domestik dan Piala Jerman musim 2023-24. Malah, Leverkusen tidak pernah tewas dalam perlawanan liga di tempat lawan sejak dua musim lalu.

Sejak menyertai kelab itu dari Cologne pada 2020, Wirtz telah merekodkan 57 gol dan 65 bantuan jaringan dalam 197 penampilan. Musim lalu sahaja, beliau menjaringkan 16 gol dan mencipta 15 assist dalam 45 perlawanan, membantu Leverkusen menamatkan musim di tempat kedua di belakang Bayern Munich.

Wirtz, yang telah 31 kali mewakili Jerman sejak penampilan sulung pada 2021, juga merupakan satu-satunya pemain yang mencatat dua musim berturut-turut dengan 10 gol dan 10 assist atau lebih dalam Bundesliga.

Kehadirannya dijangka menambah variasi pilihan buat pengendali baharu, Arne Slot, dalam barisan tengah yang turut dibarisi Alexis Mac Allister, Ryan Gravenberch, Dominik Szoboszlai dan Curtis Jones. Selain posisi utama sebagai pemain tengah menyerang, Wirtz juga mampu beraksi di sayap kiri atau sebagai penyerang ‘false nine’.

“Sudah tentu saya mahu menang segalanya setiap tahun. Tapi pertama sekali, saya perlu bekerja keras dan beri sumbangan. Sasaran saya adalah membantu kelab mempertahankan kejuaraan Liga Perdana dan mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara,” katanya lagi.

Wirtz menjadi pemain kedua yang dibawa masuk Liverpool pada jendela perpindahan kali ini, selepas rakan senegara dari Leverkusen, Jeremie Frimpong yang mengisi posisi bek kanan.

Sementara itu, Liverpool juga dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran untuk pemain pertahanan kiri Bournemouth, Milos Kerkez yang berusia 21 tahun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE