PENNSYLVANIA, 21 Jun- Kelab Brazil, Flamengo bangkit daripada ketinggalan pada separuh masa pertama untuk menewaskan Chelsea 3-1 dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia Kelab FIFA, sekali gus mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam kejohanan berprestij itu.
Chelsea terlebih dahulu di depan menerusi jaringan awal Pedro Neto, namun skuad Liga Perdana Inggeris itu gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan untuk menggandakan kelebihan.
Flamengo mengambil kesempatan untuk bangkit menerusi aksi bertenaga separuh masa kedua, apabila Bruno Henrique dan Danilo masing-masing meledak pada minit ke-62 dan 65, memintas kedudukan Chelsea.
Situasi bertambah buruk buat The Blues apabila penyerang mereka, Nicolas Jackson, dilayangkan kad merah hanya tiga minit kemudian selepas melakukan terjahan keras.
Flamengo melengkapkan kemenangan bergaya menerusi jaringan Wallace Yan pada minit ke-83, sekali gus mengesahkan tiga mata penuh.
Keputusan itu menyaksikan Flamengo kini menerajui Kumpulan D dengan enam mata hasil dua kemenangan, manakala Chelsea kekal di tangga kedua dengan tiga mata.
Esperance de Tunis dan Los Angeles FC pula masih belum mengutip sebarang mata.-REUTERS