fb fb fb fb fb

Suku akhir penuh drama, Sabalenka sahkan slot separuh akhir Terbuka Berlin

Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka / REUTERS

BERLIN, 21 Jun- Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka mempamer semangat juang luar biasa apabila bangkit menyelamatkan empat mata perlawanan sebelum menundukkan Elena Rybakina 7-6(6), 3-6, 7-6(6) dalam suku akhir Terbuka Berlin, Jumaat.

Dalam aksi mendebarkan set penentuan, Rybakina hampir mengesahkan kemaraan apabila mendahului 6-2 dalam tie-break, namun selepas mata perlawanan pertamanya dinafikan oleh sentuhan 'net cord', rentak permainan berpihak kepada Sabalenka.

Pemain Belarus itu memenangi lima mata berturut-turut untuk mencatat kemenangan dramatik, sementara Rybakina yang juga juara Wimbledon 2022 dilihat goyah ketika detik penentuan.

Pertarungan seimbang itu menyaksikan Sabalenka dan Rybakina silih berganti mendominasi, dengan Sabalenka mengatasi tekanan untuk memenangi set pertama menerusi tie-break 8-6, sebelum Rybakina mempamer aksi lebih kemas dalam set kedua untuk mengikat kedudukan 6-3.

Sabalenka mendahului 5-4 namun gagal menamatkan perlawanan apabila servisnya dipatahkan oleh Rybakina.

Rybakina bangkit memecahkan servis dan mendahului 6-5 sebelum Sabalenka mengikat 6-6 dan memaksa tie-break dramatik.

Sabalenka dijadual menentang pemain Republik Czech, yang juga juara Wimbledon 2023 Marketa Vondrousova di separuh akhir yang terdahulu menundukkan Ons Jabeur 6-4, 6-1 dalam aksi ulangan final tahun lalu.

Sementara itu, pemain kelayakan dari China, Wang Xinyu meneruskan kejutan apabila mara ke separuh akhir selepas lawannya, Paula Badosa menarik diri akibat kecederaan pinggul kanan. Wang ketika itu mendahului 6-1, 0-0.

Badosa dilihat kecewa selepas perlawanan apabila memecahkan raket dan melemparkannya ke tepi gelanggang.

Wang, yang kini menduduki ranking ke-49 dunia, mencuri tumpuan sepanjang kejohanan ini termasuk menyingkirkan pilihan kedua, Coco Gauff, dalam pusingan sebelumnya.

Beliau akan menentang wakil Rusia, Liudmila Samsonova di separuh akhir, selepas Samsonova mudah menundukkan Amanda Anisimova 6-1, 6-1.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE