fb fb fb fb fb

Wimbledon sedia hadapi cuaca panas melampau

Kejohanan Wimbledon 2025 membuka tirainya dalam keadaan cuaca panas luar biasa, dengan suhu dijangka mencecah sekurang-kurangnya 33 darjah Celsius pada hari pertama saingan / Foto AFP

LONDON, 30 Jun – Kejohanan Wimbledon 2025 membuka tirainya dalam keadaan cuaca panas luar biasa, dengan suhu dijangka mencecah sekurang-kurangnya 33 darjah Celsius pada hari pertama saingan Grand Slam berprestij itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab All England, Sally Bolton, berkata pihak penganjur sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi situasi itu meskipun suhu setinggi itu jarang berlaku ketika kejohanan berlangsung.

“Kami tidak biasa dengan cuaca sepanas ini, tetapi kami benar-benar bersedia menghadapinya,” kata Bolton kepada media.

Wimbledon mempunyai peraturan khas berkaitan cuaca panas – dikenali sebagai peraturan haba (heat rule) – yang boleh diaktifkan bagi melindungi kesihatan pemain.

Peraturan tersebut bersandarkan indeks tekanan haba (heat stress index) yang mengambil kira suhu udara, kelembapan dan suhu permukaan gelanggang.

3006 SKN TENNIS WIMBLEDON 2Foto AFP

“Pemain sebenarnya sudah biasa beraksi dalam cuaca panas seperti ini sepanjang musim jelajah, namun bagi kami di sini, ia agak luar biasa. Apa pun, peraturan ini sudah terbukti berkesan dan akan diaktifkan sekiranya diperlukan,” jelas Bolton.

Bacaan indeks tekanan haba diambil 30 minit sebelum permainan bermula dan diulang pada pukul 2 petang serta 5 petang waktu tempatan.

Menurut peraturan tersebut, jika indeks tekanan haba mencecah 30.1 darjah Celsius atau lebih, pemain wanita dibenarkan berehat selama 10 minit di antara set kedua dan ketiga, manakala pemain lelaki pula berehat antara set ketiga dan keempat.

“Walaupun jarang digunakan di Wimbledon, kami sudah pun bersedia untuk melaksanakannya,” tambah Bolton.

Selain pemain, perhatian turut diberikan kepada kebajikan ball boy dan ball girl yang bertugas di atas gelanggang.

Mereka dilengkapi dengan skarf penyejuk khas sebagai langkah perlindungan tambahan.

Bolton turut menasihatkan para penonton supaya peka terhadap keadaan sekeliling dan segera mendapatkan bantuan sekiranya melihat sesiapa mengalami simptom strok haba.

“Kami mempunyai pasukan perubatan yang cukup besar di sini untuk membantu jika berlaku sebarang kecemasan. Kami bukan sahaja bersedia sepenuhnya, malah gembira kerana kali ini cuacanya cerah, tidak seperti tahun lalu yang dibasahi hujan,” katanya lagi.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN