SPA-FRANCORCHAMPS, 30 Jun – Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan perlumbaan Crowdstrike 24 Hours of Spa 2025 di kedudukan ke-12 bagi Kategori Bronze Cup dan tempat ke-43 keseluruhan daripada 74 pasukan bertanding.
Pencapaian membanggakan itu hadir menerusi penampilan sulung JMR dalam perlumbaan 24 jam GT3 paling berprestij di dunia, menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3 R yang kembali beraksi di Spa-Francorchamps selepas lebih sedekad menyepi.
Dua jentera JMR dikemudi oleh gabungan istimewa Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim serta dua pelumba profesional berpengalaman, Alexander Sims dari England dan Jordan Love dari Australia.
Foto FB The Royal Johor
Meskipun berdepan dugaan awal apabila terpaksa memulakan perlumbaan dari pit susulan isu teknikal di grid yang menyebabkan mereka ketinggalan enam pusingan, pasukan JMR kekal tenang dan konsisten sepanjang perlumbaan.
Cuaca panas terik dan kesesakan trek sepanjang 24 jam menjadi cabaran utama, namun dengan strategi berhati-hati serta pengurusan hentian pit yang efisien, pasukan berjaya melengkapkan 527 pusingan dan 27 hentian pit, sekali gus menamatkan perlumbaan dengan penuh bergaya.
Kejayaan tersebut bukan sahaja melakar sejarah buat pasukan JMR dan negeri Johor, malah turut menjadi titik kebangkitan Chevrolet dalam dunia perlumbaan ketahanan GT3 peringkat dunia.
Lebih penting, ia menjadi suntikan moral buat pasukan JMR yang kini sedang mendahului saingan Kejuaraan GT World Challenge Asia 2025, menjelang pusingan seterusnya di Litar Fuji, Jepun, dari 11 hingga 13 Julai nanti.